Keganasan Rumahtangga – Sr.1

Posted: May 24, 2011 in Disiplin Sastera, Pengajian Am Kertas 2

SMK SACRED HEART, SIBU

PENGAJIAN AM KERTAS 2 (ABC)

BAHAGIAN PERTAMA

Apakah keganasan rumahtangga?

Keganasan rumahtangga bermaksud perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan ganguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan. Keganasan rumahtangga ,kebiasaannya berulang dan menjadi mangsa lebih teruk dan berterusan walaupun selepas penceraian.

Ini adalah disebabkan pendera ingin terus berkuasa dan mahu mengawal mangsa. Kebanyakkan pendera adalah gulungan lelaki dan mangsa adalah wanita atau kanak-kanak.

Apakah bentuk keganasan rumahtangga?

Bentuk-bentuk keganasan rumahtangga :

  • Fizikal
  • Pertuturan
  • Psikologi
  • Emosi / perasaan

Apakah kesan kesihatan akibat keganasan rumahtangga?

Berikut adalah beberapa kesan-kesan kesihatan disebabkan keganasan rumahtangga –

Kecederaan pada anggota badan :

  • Seperti, lebam, luka, patah tulang yang menyebabkan kecacatan kekal dan kematian.

 

Kesan psikologi / mental :

  • Wanita yang didera oleh pasangan akan mengalami lebih kemurungan, cemas dan ketakutan dibanding dengan wanita yang tidak didera. Mereka juga lebih cenderung untuk mencederakan diri sendiri atau menbunuh diri
  • Mangsa juga lebih dikaitkan dengan tabiat merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan penyalahgunaan dadah.

 

 

Adakah saya dikalangan mangsa keganasan?

Berikut adalah soalan-soalan sama ada anda dan pasangan anda berada dalam masalah keganasan rumahtangga. Jika kebanyakan jawapan “YA”, anda adalah golongan mangsa dera.

  • Perasaan dalaman anda : Perasaan takut, benci diri sendiri dan keadaan terdesak

– Adakah anda sentiasa ketakutan terhadap pasangan anda?

– Adakah anda mengelak suatu perkara meransang pasangan anda menjadi marah?

–  Adakah anda merasa anda tidak dapat melakukan sesuatu yang betul atau disukai oleh pasangan anda?

– Adakah anda merasa tidak berguna dan patut di hukum?

– Adakah anda merasa tidak lagi menyayangi pasangan anda?

– Adakah anda rasa tidak lagi menghormati pasangan anda?

– Adalah anda rasa anda yang tidak waras dan bersikap keterlaluan terhadap pasangan anda?

– Pernahkah anda merasa ingin menyingkirkan pasangan hidup anda?

– Pernahkah anda mengharapkan pasangan anda mati?

– Adakah anda terasa terancam?

– Adakah anda bimbang pasangan mengambil anak-anak anda?

– Adakah anda merasa perbuatan keganasan rumahtangga adalah biasa dalam perkahwinan?

  • Tingkahlaku pasangan anda

–  Adakah pasangan anda sukar di fahami ?

– Adakah pasangan anda mempamerkan kelakuan baik diantara kejadian keganasan ?

– Adakah pasangan anda seorang pemarah ?

– Pernahkah pasangan anda mengugut anda ? Secara lisan atau fizikal? Untuk mencederakan atau membunuh anda?

– Pernahkah pasangan anda mengugut mengambil anak-anak anda ?

– Pernahkah dia mencederakan anda secara fizikal?

– Pernahkah pasangan anda mengugut di tempat kerja ?

– Adakah pasangan anda merosakkan harta / peralatan rumah ?

– Adakah pasangan anda memisahkan anda daripada keluarga dan kawan kawan anda ?

– Pernahkah pasangan anda mengawal perbelanjaan penggunaan telefon atau kereta ?

– Adakah pasangan anda suka mengongkong dan cemburu, selalu mengesyaki anda mempunyai perhubungan lain ?

–  Adakah pasangan anda melarang anda dari keluar rumah ?

– Adakah pasangan anda mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anda ?

– Adakah pasangan anda memalukan dan mengutuk anda dihadapan orang lain ?

– Adakah pasangan anda tidak mengindahkan atau merendahkan pandangan dan pendapat yang anda beri ?

– Adakah pasangan anda menyalahkan anda diatas keganasannya ?

– Adakah pasangan anda tidak menghormati wanita ?

– Adakah pasangan anda menganggap anda sebagai objek seks ?

Apakah tanda seseorang itu mungkin menjadi mangsa keganasan rumahtangga?

Anda atau sesiapa sahaja boleh mengesyaki keganasan berlaku sekiranya anda menyaksikan kawan-kawan anda mempunyai tanda-tanda berikut :-

– Lebam, luka atau bengkak dibadan dengan alasan disebabkan “kemalangan”

– Kemurungan dan kerap menangis

– Kerap menghilang diri

– Kerap datang lambat

– Kerap menerima gangguan panggilan telefon semasa bekerja

– Takut terhadap pasangan

– Tumpuan dan prestasi kerja merosot

– Menyisihkan diri

– Mempunyai masalah kewangan

Jika anda mangsa keganasan rumahtangga, atau mengetahui seseorang itu menjadi mangsa keganasan, dimana anda boleh dapatkan bantuan?

Jangan berdiam diri dan kongsi masalah anda dengan orang lain, anda mesti hentikan keganasan ini. Sayangi diri dan kehidupan anda. Anda berhak menikmati kehidupan yang bahagia.
INGAT anda tidak keseorangan; apa yang perlu anda buat adalah untuk mendapatkan bantuan, kami disini untuk membantu anda : –

  • Ibu dan ayah anda
  • Kakak dan abang anda
  • Jiran anda
  • Rakan taulan anda
  • Kaunselor anda
  • Guru anda
  • Petugas di Klinik kesihatan dan Pusat Krisis Bersepadu (OSCC)

Sekiranya anda merasakan diri dalam keadaan berbahaya atau telah di dera hubungi 999 segera!Bagaimana saya melaporkan masalah keganasan rumahtangga

Membuat laporan kes yang disyaki keganasan rumahtangga adalah PENTING dan SULIT.
Tindakan segera anda boleh melindungi mangsa dari keganasan lebih teruk dan KEMATIAN.
Sila buat laporan segera di Balai Polis atau Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran kediaman anda.

Bagaimana saya mendapat bantuan jika saya pendera

Sekiranya anda telah mencederakan seseorang dan inginkan bantuan, sila hubungi 999.
Sekiranya anda mahu menghentikan penderaan keganasan, sila datang berjumpa doktor untuk mendapatkan kaunseling dan bantuan yang diperlukan.

Semakan Akhir : 28 April 2008

BAHAGIAN KEDUA

Kes keganasan rumah tangga sering dianggap masalah dalaman antara pasangan suami isteri yang tidak perlu membabitkan campur tangan pihak luar. Bagaimanapun, wanita seharusnya peka dengan undang-undang yang mempunyai peruntukan bagi melindungi mereka, malah Islam turut menggariskan peraturan bahawa suami tidak sewenang-wenangnya boleh menaikkan tangan terhadap isterinya.

Hakikatnya, kes keganasan terhadap rumah tangga tidak pernah bertepi. Berdasarkan statistik, kes keganasan rumah tangga semakin meningkat dengan 1,807 kes dilaporkan tahun ini berbanding 2,090 kes sepanjang tahun lalu. Walaupun jauh lebih rendah berbanding 3,897 kes yang dilaporkan sepanjang 2007 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada yang beranggapan angka berkenaan mungkin hanya sebahagian daripada yang dilaporkan.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata kes berkenaan masih banyak lagi berlaku tetapi ada yang tidak dilaporkan kepada polis.

“Wanita yang mengalami situasi itu bagaikan ‘gunung berapi berjalan’ kerana menjadi lumrah wanita memang suka memendam rasa, terutama masyarakat Melayu dan India. Jika berlaku sesuatu mereka akan melakukan tindakan drastik,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) berkata, wanita perlu sedar bahawa jika suami mengasari mereka, berlaku pergaduhan ataupun memukul walaupun sedikit, si isteri boleh mengemukakan laporan.

“Bukanlah mahu menunjukkan wanita itu mengada-ngada, tetapi laporan sangat perlu supaya masa depan mereka terjamin. Jika tindakan itu (memukul) sekali tidak mustahil suami berani untuk melakukannya kali kedua dan seterusnya, malah boleh menjadi lebih teruk.

“Selain itu, laporan juga tidak memerlukan saksi, tetapi jika ada yang menyaksikan tragedi berkenaan sama ada anak atau ahli keluarga lain boleh mengesahkan dan menguatkan lagi laporan. Lebih penting ialah membuat pemeriksaan di klinik atau hospital kerajaan terdekat bagi mengesahkan kesan pukulan. Tekanan harus wujud dalam perasaan dan kita menyarankan supaya isteri mendapatkan nasihat kaunseling untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Keganasan rumah tangga yang dilakukan suami terhadap isteri boleh memberi kesan bukan saja dari segi kesihatan fizikal bahkan juga perasaan. Isteri mudah diserang penyakit darah tinggi setiap kali mendengar atau ternampak wajah si suami.

Kesan lain ialah isteri boleh mengalami kemurungan yang teruk sehingga menjejaskan keharmonian dirinya dan secara tidak langsung anak-anak juga akan mengalami trauma.

Beliau berkata, ada wanita yang enggan membuat laporan walaupun diri dikasari suami dan tidak kurang juga ada yang sudah membuat laporan, tetapi enggan meneruskan dakwaan demi maruah keluarga.

“Jika ada yang mengatakan laporan yang sudah dibuat, tetapi masih tiada tindakan sewajarnya diambil adalah kerana ada isteri yang menarik balik laporan. Ia kerana ada juga yang tidak mahu lapor kerana tidak mahu suami ditangkap dan memalukan keluarga, tetapi kesudahannya mereka tidak dibela.

“Selain itu selepas laporan dibuat, suami ditangkap, tetapi dalam tempoh perintah perlindungan sementara (IPO) saja dan dimasukkan dalam penjara sebagai siasatan. Tetapi, sekiranya tempoh IPO itu tamat dan tindakan tiada diambil, suami dibebaskan,” katanya.

WAO bantu bela mangsa dera

SEORANG mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dina, pernah mendapatkan perlindungan di Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Petaling Jaya, berikutan mengalami tekanan akibat penderaan fizikal dan mental yang dilakukan suami. Lebih menyedihkan penderaan dialaminya sudah berlanjutan lebih 12 tahun.

Wanita berusia 30-an itu berkata, pada awalnya beliau tidak mendapatkan pembelaan berikutan tiada kekuatan, kesempatan dan berada dalam keadaan terancam serta ketakutan. Malah, ketika dalam penderaan itu, beliau menganggap walau apa pun yang berlaku, isteri tetap tidak boleh keluar rumah kerana boleh dikatakan nusyuz terhadap suami.

“Walaupun dipukul, ditendang, diherdik dan dimaki saya masih berada di rumah sehingga melahirkan anak kedua. Sebagai wanita Islam saya taat pada suami. Walaupun dia sanggup melakukan keganasan terhadap saya, saya masih tidak keluar dari rumah kerana menganggap keluar tanpa keizinan akan jatuh nusyuz.

“Sepanjang itu, suami tidak pernah berkata ingin menceraikan saya menyebabkan saya hanya terus berdiam diri tambahan pula saya tidak bekerja dan kurang pengetahuan mengenai masalah berkenaan. Namun, selepas sekian lamanya, suami terus menjatuhkan talak dan ini mendorong saya terus keluar mendapatkan pembelaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu beliau sengsara dan tertekan dengan kehidupan tetapi terpaksa tabahkan hati untuk meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi.

Pegawai Kerja Sosial WAO, Nazlina Abdil Ghani, berkata walaupun wanita tidak berpendidikan atau bekerja mereka seharusnya tahu peranan dan hak mereka khususnya dari segi undang-undang.

“Jika penderaan terlampau keras, mereka dibolehkan keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan mana-mana pihak. Jika laporan diberikan mereka akan mendapat tempoh perintah perlindungan sementara (IPO) sementara siasatan dijalankan.

“Namun, jika tempoh IPO tamat, kes masih belum selesai wanita boleh mendapatkan tempoh perlindungan kekal atau IPO sebanyak tiga kali sehingga perbicaraan selesai untuk mengelak suami daripada terus melakukan keganasan,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan banyak lagi kes seperti itu berlaku dan wanita tidak keluar mendapatkan pembelaan kerana pelbagai alasan termasuk tidak tahu ke mana hendak dituju selain tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Nusyuz boleh berlaku kepada dua pihak iaitu suami dan isteri, dan bukannya hanya berpihak kepada seorang saja. Kes yang diterima WAO kebanyakan digugurkan separuh jalan iaitu belum sampai ke peringkat perbicaraan kerana ada wanita yang termakan pujuk rayu suami. Oleh itu, banyak kes belum mendapat pembelaan sewajarnya kerana siasatan dalam tempoh IPO belum selesai,” katanya.

 

INFO: Keganasan terhadap wanita

# Di bawah Seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) adalah pelakuan mana-mana perbuatan berikut:

# Secara bersenjata atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal

# Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dengan suatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal

# Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman melakukan kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan

# Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu, atau

# Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu oleh seseorang terhadap:

– isteri atau suami

– bekas isteri atau suami

– kanak-kanak

– orang dewasa tidak berkeupayaan, atau mana-mana anggota lain keluarga.

Oleh Hidayah Mohammad

Read more: http://serikasih.blogspot.com/2009/08/kes-keganasan-rumahtangga.html#ixzz0jcdqP1ZJ

BAHAGIAN KETIGA

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Kes keganasan rumah tangga meningkat daripada semasa ke semasa walaupun wujud perundangan serta pelaksanaan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata mengikut statistik sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lepas berbanding 485 kes pada tahun 2006, 421 kes (2005) dan 560 kes (2004).

“Statistik ini tidak termasuk kes yang mungkin tidak dilaporkan. Walaupun Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah diwujudkan, tetapi kes keganasan rumah tangga tidak turun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keganasan Rumah Tangga di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, Selasa.

Kira-kira 100 peserta menyertai seminar anjuran Puspanita DBP dan Yayasan Amanah Saham Wanita (Asnita) itu bagi mendedahkan mereka kepada perkembangan terkini isu rumah tangga dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 di mahkamah sivil dan syariah di Malaysia.

Ng berkata mengikut kajian kementerian, keganasan rumah tangga yang berlaku bukan sahaja memberi impak kepada isteri atau suami, tetapi juga kepada anak-anak.

“Anak lelaki yang semasa kecil melihat ibunya didera, mungkin akan buat perkara sama apabila berkahwin kerana menganggap ia (dera) perkara biasa. Anak perempuan pula mungkin enggan berkahwin kerana fobia,” katanya.

Ng berkata keganasan rumah tangga juga turut berlaku di kalangan wanita golongan profesional seperti doktor dan peguam, tetapi tidak dilaporkan kerana takut dicemuh masyarakat.

Mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang meminta masyarakat berbelanja mengikut kemampuan ketika dunia mengalami kekurangan bekalan makanan sekarang, Ng berkata kaum wanita di rumah juga perlu mengelakkan sebarang pembaziran.

BERNAMA

BAHAGIAN KEEMPAT

Keganasan Rumah Tangga

Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?

  • Secara sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal.
  • Mencederakan mangsa secara fizikal.
  • Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya.
  • Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
  • Khianat atau merosakkan harta dengan niat akan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.

Siapakah mangsa keganasan rumah tangga?

  • Isteri / bekas isteri
  • Suami / bekas suami
  • Anak-anak
  • Ibu bapa
  • Ahli keluarga yang tinggal serumah

Apakah yang dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga?

  • Penderaan fizikal
  • Penderaan mental
  • Penderaan emosi
  • Penderaan seksual
  • Penderaan spiritual

Bagaimanakah keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Keganasan rumah tangga berlaku melalui beberapa tahap dan peringkat iaitu:

  • Tahap 1 : Peningkatan tekanan – Bermula dengan perselisihan yang kecil dan isteri akan cuba menenangkan Si suami dengan pelbagai tindakan. Si Isteri lebih banyak mengalah menyebabkan Si suami akan menjadi dominan.
  • Tahap 2: Permulaan insiden keganasan – Di peringkat ini, keganasan berlaku secara mendadak disebabkan Si suami tidak dapat mengawal kemarahannnya. Si isteri pula, tidak akan melawan, sebaliknya memendam rasa dan menangis. Keadaaan ini akan menyebabkan Si isteri mengalami tekanan psikologi yang keterlaluan.
  • Tahap 3: Penyesalan – Pihak mangsa akan merasa sedih dan takut akan ditinggalkan pasangan. Suami berjanji akan berubah sikap, memohon maaf dan menunjukkan kasih sayang dan kemesraan yang luar biasa. Keadaan ini akan memberikan keyakinan kepada Si isteri bahawa Si suami akan berubah.

Adakah perselisihan faham boleh membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga?

Terpulang kepada pasangan suami isteri mengendalikan emosi mereka. Jika pasangan itu dapat berkomunikasi secara positif dan menyelesaikan perselisahan itu dengan baik, dan pasangan akan mengakui dan menginsafi kesalahan yang di buat, ia tidak akan membawa kepada keganasan rumah tangga. Walaubagaimanapun jika pasangan itu tidak dapat mengawal emosi mereka, kemungkinan pertengkaran dan pergaduhan akan berlaku. Kesan yang lebih teruk akan berlakunya keganasan fizikal, mental dan emosi atau seksual.

Mengapa keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Keganasan rumah tangga berlaku kerana beberapa sebab:

  • Tiada keharmonian dan persefahaman dalam rumah tangga.
  • Personaliti suami atau isteri.
  • Latar belakang keluarga.
  • Kesan penagihan dadah, alkohol atau judi.
  • Masalah ekonomi.
  • Faktor terlalu cemburu terhadap pasangan.
  • Masalah mental
  • Latar belakang masyarakat dan budaya.
  • Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.
  • Wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga.
  • Kurangnya didikan agama.

Bagaimanakah untuk mengelakkan daripada berlakunya keganasan rumah tangga?

  • Menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
  • Pasangan perlu menerima kekuatan dan kekurangan pasangan mereka dan sama memperbaikinya.
  • Pasangan perlu sentiasa berbincang tentang masalah yang dihadapi dan mencari penyelesaian secara harmoni.
  • Pasangan perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab mereka.
  • Pasangan mengetahui hak-hak mereka dari sudut agama dan perundangan.
  • Berpegang teguh pada agama.

Mengapa keganasan rumah tangga mesti dibendung?

Keganasan rumah tangga mesti dibendung kerana ia meninggalkan kesan negatif dalam institusi kekeluargaan.

Si mangsa akan mengalami tekanan fizikal, mental dan spiritual. Sentiasa berada dalam satu situasi yang tidak selamat. Jika ia dibiarkan ia akan menjadi trauma untuk kesan jangka panjang.

Akan menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan atau perkembangan anak-anak. Kemungkinan si anak akan mengulangi apa yang dipelajari dari ibu bapanya apabila mereka besar kelak. Mereka pula berpotensi untuk menjadi pendera.

Jika ia berterusan jalan akhirnya akan berlakunya penceraian. Penceraian tidak menguntungkan semua pihak. Pihak yang paling rugi sekali ialah anak-anak. Anak-anak akan mengalami tekanan emosi dan mental akibat penceraian ibu bapa mereka.

Anak-anak mangsa penceraian ini akan mengalami konflik identiti dan jika mereka tersalah haluan akan terlibat dengan kes-kes juvana seperti gangsterism, vandalism, penagihan dadah dan lain-lain masalah sosial.

Si ibu pula akan menjadi ibu tunggal. Terpaksa memainkan peranan sebagai ketua rumah.

Siapakah yang paling mudah terjebak kepada keganasan rumah tangga?

Pasangan yang berkahwin dalam usia yang muda.

Pasangan yang berpersonaliti negatif ( panas baran, kuat berleter dll)

Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.

Penagih, pemabuk dan kaki judi.

Pasangan yang mengalami sakit mental.

Pasangan yang kuat cemburu.

Pasangan yang diganggu oleh orang ketiga.

Pasangan yang menghadapi masalah ekonomi.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda adalah mangsa keganasan rumah tangga?

Jika keganasan rumah tangga di tahap tidak serius:

Mengenalpasti punca berlakunya keganasan rumah tangga.

Cuba berbincang dengan pasangan anda agar tidak berlaku lagi.

Dapatkan bantuan orang ke tiga di kalangan kedua-dua keluarga anda.

Hubungi JPW ( unit Kaunseling ) atau PPWN untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Jika keganasan di tahap serius:

Pastikan anda mendapat rawatan doktor jika berlaku kecederaan. Pergi ke OSCC ( Pusat Khidmat Bersepadu )

Laporkan kepada pihak polis.

Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah perlindungan Interim ( IPO ) atau Perintah Perlindungan (PO).

Jika anda telah membuat keputusan untuk bercerai, failkan penceraian anda di mahkamah.

Bolehkah perkara ini ditangani sendiri tanpa bantuan pihak ketiga?

Boleh. Jika pasangan bersedia berbincang secara baik untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. Pada masa yang sama, pasangan dapat menerima kekuatan dan kelemahan pasangan dan memberi sokongan antara satu sama lain. Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa perkahwinan bukan sahaja bersatunya dua hati tetapi penyatuan cara hidup, budaya dll. Kembali kepada agama dan memainkan peranan serta tanggungjawab sebagai suami isteri merupakan satu pendekatan yang terbaik.

Siapakah yang boleh membantu apabila anda mengalami keganasan Rumah Tangga?

Diri sendiri

Ahli Keluarga

Jiran tetangga

Ahli sukarelawan dan NGO

Pihak Polis

Hospital

Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Agama Islam atau Badan Pendamai.

Untuk mendapatkan khidmat nasihat hubungi Unit Kaunseling JPW atau PPWN ( Rumah Nur )

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan?

Ingin mendapatkan khidmat nasihat : Menelefon atau membuat temujanji dengan kaunselor-kaunselor dan Pegawai Pembangunan Masyarakat ( JPW, PPWN,JKM,JAIS dan sukarelawan-sukarelawan NGO )

Ingin membuat aduan: Lapor segera kepada pihak polis yang berdekatan. Jika terdapat kecederaan, pergi ke Pusat Khidmat Sepadu( OSCC ) Ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan IPO dan tempat perlindungan jika perlu.

Mengapakah wanita atau mangsa keganasan rumah tangga sering berdiam diri (membisu ) atau lambat bertindak apabila didera?

Wanita tidak mempunyai kesedaran tentang hak mereka sebagai isteri dalam aspek agama dan undang-undang.

Perasaan takut kerana akan hilang tempat bergantung.

Perasaan malu untuk membuat aduan tentang kepincangan keluarga sendiri.

Memikirkan tentang anak-anak.

Termakan pujuk rayu dan janji manis si suami

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s