IMAM AS-SYAFIEE

Posted: June 2, 2011 in Tokoh Islam

IMAM as-Syafi’e rh. atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin Abbas as-Syafi’e rh. dikenali sebagai seorang imam mujtahid yang mengasaskan mazhab fiqh yg masyhur. Beliau diberikan pelbagai gelaran yang menggambarkan ketokohannya dalam bidang ilmu. Di antaranya ialah al-Imam Zayn al-Fuqaha – imam hiasan fuqaha, Sayyid al-Fuqaha – penghulu fuqaha dan Taj al-Fuqaha – mahkota fuqaha.

Ketokohan beliau adalah hasil pengembaraan ilmu panjang yang dilaluinya termasuk ke Makkah, Madinah, Baghdad, Narjan dan Palestin.

Pendapat kuat menyatakan Imam as-Syafi’e rh. dilahirkan di Ghaza, Palestin. Sebaik kematian bapanya, ibu beliau membawanya berhijrah ke Makkah ketika berusia dua tahun.

Penghijrahan ini dilakukan untuk mendekatkan beliau dengan asal usul keturunannya iaitu Quraisy. Namun, ibunya dikatakan seorang bijak dan faqih. Justeru, tentu penghijrahan ini mempunyai matlamat yang lebih jauh iaitu untuk mendekatkan Imam as-Syafi’e rh. dengan ilmuwan Makkah. Makkah pula dikelilingi oleh persekitaran Badwi yang boleh membina kelancaran dan kepetahan berbahasa.

Sebagai anak yatim, beliau hidup dalam kemiskinan. Namun, ia tidak menghalang beliau meneruskan pengajian ilmu.

Pada peringkat awal, gurunya sendiri kurang memberikan perhatian kepadanya. Hal ini kerana ibunya tidak mampu untuk melunaskan yuran pengajian. Namun, sebaik menyedari kebolehan dan kebijaksanaan luar biasa Imam as-Syafi’e rh, gurunya melantik beliau sebagai guru muda kepada kanak-kanak yang lebih kecil.

Dengan itu yuran pengajian tidak perlu lagi dilunaskan oleh beliau. Imam as-Syafi’e rh. menghafaz al-Quran seawal usia tujuh tahun dan menghafaz hadith muwata’ susunan Imam Malik rh. ketika berumur 10 tahun.

Pada peringkat awal, Imam as-Syafi’e rh. amat meminati ilmu bahasa Arab dan sejarah manusia. Pada suatu ketika, beliau keluar dari Makkah dan tinggal bersama suku Hudhayl, antara suku Arab yang paling fasih bahasanya bagi mendalami dan menguasai bahasa Arab yang betul dan sastera Arab.

Beliau menceritakan: “Saya keluar dari Makkah, lalu tinggal bersama suku Hudhayl. Saya mempelajari percakapan mereka dan mengambil kebudayaan mereka.”

Keadaan ini menjadikan Imam as-Syafi’e rh. sebagai pakar bahasa yang dirujuk oleh ilmuwan Islam. Ketokohan beliau di bidang bahasa diakui tokoh bahasa dan sastera iaitu al-Asma`i. Kepakaran ini membantunya menjadi seorang mujtahid yang mampu mendalami makna yang tersirat di dalam al-Quran dan hadith yang sememangnya datang dalam bahasa Arab yang fasih.

Tidak menghairankan apabila beliau diizinkan memberi fatwa oleh gurunya Muslim bin Khalid az-Zinji seawal usia 15 tahun. Beliau juga menjadi seorang penyair dan mempunyai antologi syair tersendiri dinamakan Diwan Syafi’e.

Beliau beralih mempelajari fiqh selepas ditegur oleh Imam Muslim az-Zinji, Mufti Makkah ketika itu. Apabila melihat Imam as-Syafi’e rh. sangat meminati dan mahir dalam ilmu bahasa, beliau menyarankan agar kebijaksanaannya dialihkan pula kepada pengajian fiqh.

Guru awal beliau di bidang hadith dan fiqh ketika di Makkah ialah Muslim az-Zinji bin Khalid. Beliau juga mempelajari fiqh dan hadith daripada Sufyan bin `Uyaynah yang mengadakan halaqah ilmu berhampiran Kaabah dan Sa’id bin Salim al-Qaddah.

Kesungguhan untuk menuntut ilmu ditunjukkan oleh Imam as-Syafi’e rh. apabila beliau sendiri berusaha memungut kertas terpakai di pejabat kerajaan untuk menggunakan halaman yang belum ditulis.

Imam as-Syafi’e rh. juga memungut kepingan tembikar, kulit dan tulang bahu unta untuk menulis hadith dan bahan pengajian lain.

Beliau bercita-cita untuk menuntut ilmu hadith daripada Imam Malik rh, meskipun menghafaz kitab Muwatta susunan Imam Malik rh. ketika berumur 10 tahun. Berikutan itu beliau berhijrah ke Madinah ketika berusia 20 tahun iaitu pada 170 hijrah.

Sebelum ke Madinah, beliau terlebih dulu mendapatkan surat akuan daripada pemerintah Makkah iaitu satu untuk pemerintah Madinah dan satu lagi bagi Imam Malik rh.

Dengan pertolongan pemerintah Madinah, akhirnya Imam as-Syafi’e rh. berjaya berguru dan seterusnya mendampingi Imam Malik rh. selama sembilan tahun hingga beliau wafat pada tahun 179 hijrah/796 masihi.

Pada awal pertemuan mereka, Imam Malik rh. merenung wajah Imam as-Syafi’e rh. lalu mengulas: “Bertaqwalah kepada Allah, jauhkanlah dirimu daripada maksiat. Sesungguhnya engkau akan menjadi orang yang penting. Allah mencampakkan cahayanya pada hatimu, justeru, janganlah kamu padamkannya dengan maksiat.”

Beliau juga sempat berguru dengan Ibrahim bin Abu Yahya dan fuqaha Madinah lain.

Jika diperhatikan, guru Imam as-Syafi’e rh. di Makkah dan Madinah ialah tokoh fiqh aliran hadith zaman beliau.

Selepas kematian Imam Malik rh, Imam as-Syafi’e rh. kembali ke Makkah. Di sana beliau berkesempatan berkenalan dengan pembesar Yaman yang datang dalam siri lawatannya ke Hijaz.

Tertarik dengan kehebatan ilmu Imam as-Syafi’e rh., beliau dilantik menjadi pemerintah Najran. Sepanjang pemerintahannya beliau tidak mudah termakan dengan sikap bermuka-muka segelintir pegawai.

Apabila pegawai yang bermuka-muka ini merasakan tuntutan dan keinginan mereka tidak dilayani dan tidak diendahkan Imam as-Syafi’e rh, mereka memfitnah beliau bersekongkol dengan golongan Shi’ah `Alawiyah untuk menggulingkan kerajaan Abbasiyyah.

Perkara ini menyebabkan Khalifah ar-Rashid mengeluarkan arahan menangkap beliau dan seterusnya dibawa ke Baghdad dalam keadaan tangan digari. Ar-Rashid yang tertarik dengan kepetahan berhujah dan kebijaksanaan Imam as-Syafi’e rh, akhirnya membebaskan beliau.

Sewaktu di Yaman beliau sempat menuntut ilmu daripada Kadi San’a, Mutraf bin Mazin al-San’ani; Hisham bin Yusuf; Amru bin Abi Salamah, sahabat baik Imam al-Auza’i dan Yahya bin Hassan, sahabat baik al-Laith bin Sa’ad.

Di Baghdad

IMAM as-Syafi’e rh. dibawa ke Baghdad pada tahun 187 Hijrah/803 Masihi. Sebaik dibebaskan daripada tuduhan, beliau mengambil keputusan untuk terus menetap di Baghdad, kota ilmu ketika itu. Beliau tinggal bersama Imam Muhammad, seorang tokoh mazhab Hanafi dan berguru dengannya.

Di Baghdad beliau mempelajari fiqah berdasarkan kepada kaedah al-Ra’y dan Qiyas. Ia berbeza dengan di Madinah tempat beliau mempelajari fiqh menurut metodologi ahli hadith bersama Imam Malik rh.

Dengan itu, Imam as-Syafi’e rh. berjaya menguasai kedua-dua kaedah pengeluaran hukum fiqah hingga berjaya membina mazhab fiqh yang mempunyai metodologi tersendiri menghimpunkan antara dua metodologi ahli al-Ra’y dan al-hadith.

Sepanjang kehadiran beliau di Baghdad, banyak perbincangan ilmu dilakukan dengan ulama besar Baghdad. Malah, satu debat pernah diadakan antara beliau dengan gurunya iaitu Imam Muhammmad dengan permintaan gurunya sendiri. Akhirnya, kebenaran berpihak kepada Imam as-Syafi’e rh.

Beliau sempat menuntut ilmu daripada Waqi’ bin al-Jarrah yang dikenali sebagai Abu Sufyan al-Kufi.

Imam as-Syafi’e rh. kemudian kembali ke Makkah pada 197 Hijrah selepas sembilan tahun mendampingi Imam Muhammad. Kepulangan beliau dengan membawa kaedah ijtihad tersendiri. Jika sebelumnya, beliau terikat dengan fatwa Imam Malik rh, tetapi sekarang mempunyai ijtihad tersendiri.

Beliau mengarang Khilaf Malik rh. untuk menjelaskan perbezaan pendapat antara beliau dengan gurunya, Imam Malik rh. Imam as-Syafi’e rh. juga mengarang Khilaf ‘Iraqiyyin untuk menerangkan perbezaan pendapat antara beliau dengan gurunya di Iraq iaitu Imam Muhammad.

Beliau mengasaskan usul fiqh tersendiri sebagai manhaj untuk mengeluarkan hukum.

Imam as-Syafi’e rh. juga mengarang kitab usul fiqh ar-Risalah ketika berada di Makkah, yang asalnya jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Abd ar-Rahman bin Mahdi seorang pakar hadith di Iraq.

Pada tahun 195 hijrah, beliau merantau ke Baghdad untuk kali kedua. Di sana, beliau mengadakan majlis ilmu yang dihadiri oleh ulama hadith dan fiqh terkemuka Baghdad. Beliau seterusnya menyampaikan kuliah yang akhirnya dihimpunkan oleh anak muridnya dan dinamakan al-Um.

Pada tahun 197 Hijrah ketika berusia 47 tahun, beliau pulang ke Makkah. Beliau mengunjungi gurunya seperti Sufyan ‘Uyaynah.

Untuk kali ketiga, Imam as-Syafi’e rh. merantau ke Baghdad pada 198 Hijrah. Kali ini beliau tinggal hanya beberapa bulan.

Dari Baghdad beliau mengembara ke Mesir. Yaqut al-Hamawi melaporkan: “Sebab kedatangan Imam as-Syafi’e rh. ke Mesir kerana pemerintah Mesir iaitu al-Abbas bin Abdullah sebagai wakil Khalifah al-Ma’mun menjemput Imam as-Syafi’e rh. ke Mesir.”

Beliau sememangnya berkeinginan untuk ke Mesir kerana di sanalah tersebarnya mazhab gurunya Imam Malik rh.

Di Mesir, beliau mengkaji kembali ijtihad fiqahnya. Ijtihad barunya di Mesir dipanggil Qaul Jadid. Malah, kitabnya ar-Risalah dikaji dan ditulis kembali.

Beliau meninggal dunia di Mesir pada Rejab 204 hijrah bersamaan 4 Januari 820 Masihi ketika berusia 54 tahun.

Perjalanan dan pengembaraan yang panjang membuka ruang untuk Imam as-Syafi’e rh. menuntut ilmu daripada tokoh ulama pelbagai bidang dan aliran.

Pada awal usianya di Makkah, beliau mempelajari ilmu bahasa daripada lubuk bahasa iaitu suku Hudhayl. Hal ini menjadikan beliau memiliki ilmu alat yang kuat untuk digunakan dalam usaha ijtihad.

Seterusnya, beliau mempelajari fiqh dan hadith daripada dua tokoh iaitu Sufyan bin ‘Uyaynah dan Muslim az-Zinji. Di Madinah pula mendampingi Imam Malik rh. Ketiga-tiga tokoh ini adalah ulama fiqh aliran hadith.

Apabila berhijrah ke Baghdad, beliau mendampingi ulama fiqh aliran al-Ra’y seperti Muhamad bin Hasan. Keadaan ini menjadikan metodologi ijtihadnya adalah hasil gabungan dua aliran fiqh yang masyhur.

Allahu a’lam bisshawab.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s