ZAID BIN HARITHAH R.A

Posted: June 2, 2011 in Tokoh Islam

Riwayat hidup beliau:
– Nama penuh beliau ialah Zaid bin Harithah bin Syurahil Al-Ka’biy.
– Ketika Zaid masih kecil iaitu semasa berumur 8 tahun, beliau dibawa keluar oleh ibunya Sa’diy binti Tha’labah untuk menziarahi kaumnya Bani Ma’n. Semasa mereka di dalam perjalanan iaitu ketika hampir sampai kepada kaum mereka, mereka diserbu oleh pasukan berkuda Bani Al-Qain, kemudian pasukan tersebut merampas harta, unta dan menawan kanak-kanak.
– Sepanjang tempoh kehilangan Zaid, air mata ibu beliau tidak pernah kering, tidak pernah berhenti dari mengalir dan keresahan ibu beliau tidak pernah hilang serta hatinya tidak pernah tenang.

Kisah beliau dijual:
– Zaid dipamerkan di pasar Ukaz untuk dijual. Ukaz adalah merupakan pasar yang dibina oleh bangsa Arab di Mekah pada bulan-bulan haram sebagai tempat untuk menjalankan urusan jual-beli dan mengalunkan syair. Lalu beliau dibeli oleh salah seorang pembesar Quraisy iaitu Hakim bin Hizam bin Khuwailid, anak saudara Khadijah binti Khuwailid r.a yang kemudiannya menjadi isteri Rasulullah s.a.w.
– Setelah itu Hakim memberikan Zaid kepada emak saudaranya iaitu Khadijah. Apabila Khadijah diberikan penghormatan untuk berkahwin dengan Rasulullah s.a.w, Khadijah memberikan pula Zaid kepada baginda sedangkan pada masa tersebut Rasulullah s.a.w masih belum dibangkitkan menjadi Rasul.
– Zaid terlalu gembira tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w malah beliau terlalu menyayangi baginda, begitu juga Rasulullah s.a.w terlalu menyayangi beliau.

Beliau memilih untuk tinggal bersama dengan Rasulullah daripada kembali ke pangkuan bapa beliau:
– Kedudukan Zaid di Mekah telah diketahui oleh bapa beliau, Harithah bin Syurahil. Lalu bapa beliau musafir ke Mekah dengan membawa sejumlah harta untuk menebus Zaid sambil diiringi oleh adik-beradik bapa beliau yang bernama Kaab.
– Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mahu menerima harta dan baginda juga tidak mahu menerima barangan yang lain sebaliknya baginda bersabda kepada mereka berdua: “Bukankah kamu memiliki sesuatu yang lebih baik daripada tebusan?” Mereka berdua berkata: “Apakah itu?” Lalu baginda bersabda: “Kita serahkan sahaja kepadanya, sekiranya dia memilih untuk bersama dengan kamu, dia akan menjadi milik kamu tanpa tebusan dan sekiranya dia memilih aku, demi Allah aku bukanlah terdiri dari kalangan orang yang tidak suka apabila dia dipilih.” Kemudian mereka berdua menjawab: “Kamu telah memberikan pilihan yang sangat tepat.” Tetapi Zaid telah memilih untuk tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w menyebabkan ayah dan bapa saudara beliau terkejut lantas bapa beliau berkata: “Betapa bodohnya kamu wahai Zaid! Adakah kamu memilih kehidupan menjadi hamba daripada bapa dan ibu kamu?!” Lantas Zaid menjawab: “Sesungguhnya aku mendapati orang ini memiliki sesuatu yang tidak boleh sama sekali aku berpisah daripadanya.” Sebaik sahaja Zaid mengucapkan kata-kata tersebut, Rasulullah s.a.w terus menarik tangan Zaid kemudian keluar ke Masjidilharam seterusnya baginda berdiri di atas batu sambil memegang Zaid lalu berkata kepada pembesar Quraisy: “Wahai bangsa Quraisy! Saksikanlah bahawa kanak-kanak ini adalah anak aku, dia akan mewarisi harta aku dan aku akan mewarisi hartanya”. Ketika itu hati bapa dan bapa saudara beliau menjadi tenang kemudian mereka berdua meninggalkan Zaid tinggal bersama dengan Rasulullah s.a.w seterusnya mereka berdua pulang dengan hati yang tenang. Bermula peristiwa tersebut Zaid dikenali dengan Zaid bin Muhammad sehinggalah tiba seruan Islam yang mengharamkan penggunaan bin bagi anak angkat kepada bukan bapanya dengan turunnya firman Allah s.w.t:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ

Yang bermaksud: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri.

Setelah itu Zaid digelar dengan Zaid bin Harithah.

Perjuangan beliau pada jalan Allah:
– Selepas Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul, Zaid adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang terawal memeluk Islam, beliau pernah dilantik menjadi panglima tentera bagi beberapa utusan dan pertempuran baginda dan beliau pernah menjadi wakil kepada Rasulullah s.a.w di Madinah ketika baginda keluar berperang.

Kematian beliau:
– Pada tahun kelapan Hijrah, Zaid bin Harithah keluar ke peperangan Mu’tah sebagai seorang panglima tentera Islam. Beliau memimpin seramai 3,000 bala tentera. Ketika tentera Islam sampai di Ma’an (Jordan sekarang), tiba-tiba mereka diserang oleh Heraclius Raja Rom yang mengetuai seramai 100,000 bala tentera yang kemudian dia dibantu pula oleh 100,000 bala tentera daripada musyrikin Arab yang bergabung dengannya. Di dalam peperangan tersebut, Zaid bin Harithah gugur syahid kemudian Jaafar bin Abu Talib menjadi panglima tentera menggantikan beliau, tetapi dia juga turut terkorban. Selepas itu Abdullah bin Rawahah pula menjadi panglima tentera, walau bagaimanapun dia juga turut terkorban. Seterusnya umat Islam memilih Khalid bin Al-Walid yang kemudiannya beliau mengundurkan tentera dan menyelamatkan mereka dari turut menjadi mangsa terkorban.
– Rasulullah s.a.w terlalu sedih di atas kematian Zaid sebagai seorang teman baginda malah baginda juga banyak menangis di atas kehilangan Zaid, orang yang sangat baginda sayangi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s