Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan Empayar Srivijaya muncul sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu dari abad ke- 7 hingga abad ke-13 Masihi

Posted: April 21, 2012 in Sejarah STPM, Tamadun Dunia: Tema 2

Empayar Srivijaya  merupakan kuasa utama dan berpengaruh di Asia Tenggara dari abad ke-7 hingga ke-13 masihi. Dengan kewibawaan pemerintahnya seperti Dapunta Hiyam, Srivijaya telah meluaskan kuasa dan pengaruhnya ke atas beberapa negeri di Pulau Sumatera, sebahagian Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, selatan Siam dan persisiran Borneo sehingga menjadikan Srivijaya sebagai pelabuhan entrepot yang terkenal di Alam Melayu. Pusat pemerintahan kerajaan Srivijaya yang terletak di Palembang adalah sangat strategik kerana dapat mengawal perairan Selat Melaka. Dalam hal ini, Srivijaya telah menggunakan angkatan lautnya yang kuat untuk menguasai perdagangan Timur- Barat terutamanya perdagangan antara Timur Tengah, China, India dan Asia Tenggara sendiri. Sebagai contohnya, pedagang-pedagang yang melalui perairan Selat Melaka telah dipujuk dan dipaksa untuk singgah di pelabuhan-pelabuhan Srivijaya. Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah empayar maritim yang sangat bergantung kepada kekuatan dan kemahiran tentera lautnya, Srivijaya telah berjaya memonopoli perdagangan di Alam Melayu dengan menguasai bandar-bandar pelabuhan penting di sekitar Alam Melayu dan menjadikan Srivijaya sebagai emporium perdagangan yang terkenal. Rekod-rekod dari Negara China telah membuktikan perkara ini, di mana telah dicatatkan 14 kota raja telah membayar ufti kepada Srivijaya pada awal abad ke-11 masihi. Dalam hal ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Empayar Srivijaya mampu muncul sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu.

1.  Kedudukan Yang Strategik

Kedudukan Srivijaya dari segi geografinya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara Timur dan Barat dan hal ini telah menjadikan Srivijaya sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal dari Asia Barat, India, Negara China dan Alam Melayu. Kelebihan Srivijaya yang menghadap monsun timur laut telah menyebabkan pelabuhan Srivijaya tidak mampu ditandingi oleh pelabuhan-pelabuhan lain.

2.  Perlindungan Diplomatik Daripada Kerajaan China

Kejayaan Srivijaya mendapatkan naungan daripada Negara China dengan cara menghantar ufti kepada Maharaja China telah mengukuhkan kuasa dan pengaruh Srivijaya. Dikatakan antara tahun 960-983 masihi, Srivijaya telah menghantar tidak kurang dari lapan utusan diplomatik ke Negara China. Jaminan perlindungan daripada China telah berjaya mengelakkan Srivijaya daripada diserang oleh kerajaan Majapahit, Siam dan Burma. Lantaran itu, ini telah mengggalakkan kedatangan lebih ramai pedagang-pedagang dari Arab, China dan India ke pelabuhan-pelabuhan Srivijaya.

3.  Kekayaan Sumber Bahan Mentah

Kemampuan empayar Srivijaya menguasai dan memiliki bahan-bahan mentah yang banyak telah menyebabkan Srivijaya mampu muncul sebagai pelabuhan entrepot utama di Nusantara. Bahan-bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi daripada pasaran tempatan dan pedagang-pedagang China telah diperolehi daripada kawasan hutan di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu serta daripada kawasan jajahan takluknya di Kepulauan Riau Lingga. Bahan-bahan mentah tersebut adalah seperti emas, perak, kemenyan, gading gajah, kapur barus, kulit kura-kura, lilin lebah, damar, kayu gaharu, kayu cendana, lada dan rempah ratus. Dalam hal ini, kekayaan sumber bahan mentah telah menjadikan Srivijaya tumpuan pedagang-pedagang dari negara luar.

4.  Kemudahan-kemudahan Perdagangan/ Pelabuhan

Para pemerintah telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan-pelabuhan seperti stor, tempat penginapan sementara dan gudang-gudang menyimpan barang. Para pedagang yang datang ke Srivijaya dilayan dengan baik dan kemudahan dan layanan yang baik ini telah menyebabkan Srivijaya dikunjungi oleh ramai pedagang.

5.  Peranan Orang Laut

Peranan orang laut juga merupakan faktor penting dalam meningkatkan perkembangan Srivijaya sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu. Kemampuan dan kejayaan pemerintah-pemerintah kerajaan Srivijaya mengawal orang laut menyebabkan masalah perlanunan di Selat Melaka dapat dibendung dan diatasi. Dalam hal ini, pemerintah Srivijaya telah menjadikan orang laut sebagai sebahagian daripada angkatan tentera laut. Kemahiran orang-orang laut tentang selok belok laut seperti beting pasir, beting karang, cuaca dan sebagainya telah membolehkan mereka mengawal jalan-jalan laut daripada ancaman lanun-lanun dengan berkesan. Di samping itu, orang laut juga berperanan memantau dan ada juga yang bertindak memaksa kapal-kapal pedagang-pedagang singgah berdagang di pelabuhan-pelabuhan Srivijaya. Sumbangan orang laut ini telah menyebabkan Srivijaya mampu memainkan peranan sebagai pusat persinggahan kapal-kapal dagangan, pusat pengumpulan dan penyebaran barang-barang dagangan.

6.  Sistem Pentadbiran Yang Baik dan Sistematik

Kerajaan Srivijaya juga mempunyai sistem pentadbiran yang baik dan sistematik. Kajian terhadap inskripsi Telaga Batu menunjukkan bahawa Empayar Srivijaya dikenali sebagai Kedatuan. Kedatuan dibahagikan kepada Mandala yang diketuai oleh seorang Datu dan beliau dibantu oleh seorang Parvanda ( Ketua Tentera ). Dengan adanya sistem pentadbiran yang baik dan teratur, maka perdagangan di Srivijaya dapat dijalankan dengan lancar.

7.  Dasar Perdagangan Srivijaya

Srivijaya juga mengamalkan beberapa dasar yang berhubung dengan sistem perdagangan. Antaranya ialah pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan berdagang secara langsung di kawasan pedalaman dan mereka hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan-pelabuhan yang terletak di bawah penguasaan kerajaan pusat. Dasar ini bertujuan untuk mengelakkan pedagang asing menghasut penduduk tempatan di kawasan pedalaman untuk menentang kerajaan pusat. Pedagang-pedagang juga dikehendaki untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Dasar perdagangan ini menyebabkan pedagangan di Srivijaya mampu berkembang dengan baik sehingga menjadi satu pusat perdagangan utama di rantau ini.

8.  Galakan Kerajaan

Kerajaan Srivijaya telah menggalakkan pedagang tempatan agar terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Terdapat kumpulan pedagang tempatan yang menjalankan aktiviti perdagangan dengan China dan Asia Barat. Kumpulan yang terlibat dengan perdagangan luar negara dikenali sebagai Puhawang dan Vaniaga. Istilah Siddha-Yatra juga merujuk kepada pedagang-pedagang yang terlibat dengan perdagangan jarak jauh. Hal ini menunjukkan kerajaan Srivijaya menggalakkan penduduk tempatan bergiat dalam perdagangan antarabangsa dan seterusnya menjadikan Srivijaya sebagai pusat perdagangan utama di Alam Melayu.

Berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah dibincangkan tadi, kerajaan Srivijaya telah berjaya sebagai sebuah kuasa perdagangan yang unggul daripada abad ke-7 hingga abad ke-13 masihi. Menjelang abad ke-14 masihi, Srivijaya telah telah hilang pengaruhnya sebagai sebuah empayar dan pusat perdagangan utama di Alam Melayu.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s