Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat yang menganggap bahawa orang-orang Arab Jahiliyah merupakan satu bangsa yang tidak bertamadun

Posted: April 21, 2012 in Sejarah STPM, Tamadun Islam: Tema 1

Jika perkataan “tamadun” itu diertikan dan difahami sebagaimana yang wujud di kalangan golongan sekular pada hari ini, maka orang-orang Arab Jahiliyah itu sememangnya telah mencapai satu tahap tamadun yang tinggi. Sebahagian daripada tamadun mereka itu masih mengkagumkan kita pada zaman ini. Perkataan Jahiliyah yang beerti bodoh atau kebodohan yang dihubungkan dengan mereka itu tidaklah ada relevannya dengan tamadun mereka yang dimaksudkan itu. Dalam sejarah Islam, “jahiliyah” yang dihubungkan dengan bangsa Arab pada zaman ituhanyalah berkaitan dengan soal keagamaan semata-mata, iaitu kebodohan (kesesatan) mereka dari aspek akidah, hukum-hakam dan akhlak. Sebab itulah maka Nabi Muhammad s.a.w diutuskan adalah untuk mengajarkan agama Allah agar akidah, hukum-hakam dan akhlak mereka dapat diperbetulkan. Penentangan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w jelas membuktikan kesesatan dan kejahilan mereka dari sudut akidah, hukum-hakam dan akhlak itu yang mana kerana adanya ciri-ciri tersebutlah maka mereka dikatakan sebagai “Jahiliyah”. Kepercayaan wathaniyah (syirik) mereka yang begitu tebal menyebabkan mereka amat sukar untuk menerima akidah tauhid. Adat Jahiliyah yang dianggap telah menjadi sunnah mereka sejak datuk nenek mereka itu menyebabkan mereka sukar mahu menerima hukum-hukum Allah. “Adakah mereka (orang-orang musyrikin) itu lebih sukakan hukum-hukum jahiliyah? (Maka kerana itu mereka menolak hukum Allah)” – Al-Quran, surah 5, ayat 50. Demikian juga kerosakan akhlak mereka yang sangat serius menyebabkan mereka tidak mahu menerima akhlak Islamiyah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, kejahilan mereka itu tidaklah beerti mereka tidak maju atau tidak bertamadun. Lebih-lebih lagi bila kita dapati dengan jelasnya pelbagai kemajuan yang telah mereka capai terutama kemajuan dalam bidang ekonomi seperti pertanian dan juga bidang perdagangan termasuk juga bidang senibina dan kesusasteraan.

Dari aspek budaya dan kesusateraan, kemajuan ketamadunan mereka dapat dilihat dari kemajuan bahasa dan pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi. Dari sudut bahasa, mereka telah mencapai kemajuan yang amat tinggi. Dalam kalangan mereka terdapat penyair-penyair yang terus terkenal hingga ke hari ini seperti Imru’ Ul-Qays, Tarafah, Antarah, Zuhayr, Nabighah, Labid dan lain-lainnya. Mereka dikatakan telah berjaya menghasilkan karya sastera yang amat tinggi mutunya.  Idea-idea yang terdapat di dalamnya dikatakan mengandungi pemikiran dan unsur-unsur falsafah yang tinggi mutunya. Syair telah menjadi satu unsur kehidupan yang penting dalam hidup mereka. Peraduan syair sering diadakan di mana penyair-penyair yang handal-handal sahaja akan dibenarkan mengambil bahagian. Peraduan syair sering mereka adakan di pasar ‘Ukadz’ di mana penyair-penyair yang handal sahaja yang akan mengambil bahagian. Tokoh yang berjaya akan disanjung dan karya mereka ditulis dengan tinta emas dan digantung di Kaabah. Di zaman ini terdapat “as-sabah al-Mu’allaqat” (Tujuh Karya Yang Tergantung) di Kaabah. Oleh sebab itulah, maka al-Quran yang diturunkan Allah itu mengandungi unsur-unsur ketinggian bahasa dan ajaran-ajaran yang amat tinggi mutunya hingga tidak dapat ditiru oleh manusia. Kerana itulah maka Al-Quran dianggap sebagai satu mukjizat Nabi s.a.w.

Mereka juga mempunyai kemahiran yang tinggi mutunya di bidang pembinaan. Orang-orang Saba’ misalnya telah berjaya membina empangan Maarib yang terkenal dalam sejarah itu. (Ada disebut dalam Al-Quran, surah 34, ayat 15-17). Bangunan rumah-rumah persembahan , kubu-kubu peperangan , istana-istana yang telah ditinggalkan oleh orang-orang Saba’, Himyar dan lain-lainnya sesetengahnya masih menghairankan para penyelidik pada hari ini.

Mereka juga mempunyai kemahiran dalam bidang pembuatan barangan keperluan hidup seperti bertenun kain, mengukur, membuat patung, kerusi meja, membuat pelbagai jenis alat senjata seperti pedang, panah, menjanik dan sebagainya. Mereka juga ada yang telah pandai menulis dan membaca. Dalam kalangan tawanan Perang Badar misalnya terdapat ramai yang tahu membaca dan menulis. Mereka inilah yang dibebankan oleh Rasulullah s.a.w supaya mengajar menulis dan membaca kepada orang-orang Islam sebagai syarat kebebasan diri mereka seperti yang dicadangkan oleh Abu Bakar al-Siddiq. Malahan

mereka juga mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu keturunan, ilmu mengesan jejak, ilmu mencari air, ilmu sihir, ilmu kedoktoran dan lain-lain. Hari bin Kaldah dan Nasir bin ‘Alaqamah adalah dua orang doktor yang terkenal pada zaman Jahiliyah yang dikatakan berkelulusan dari Kolej Kedoktoran Junde-Shapur di Parsi.

Di bidang ekonomi, mereka juga telah mencapai kemajuan. Mereka telah mencapai kemajuan di bidang pertanian dan perdagangan. Kota Makkah telah menjadi pusat perdagangan yang utama pada zaman itu. Orang-orang Quraisy telah menjadi pedagang-pedagang yang kaya dan terkenal. Pada musim sejuk mereka berdagang ke Yaman dan pada musim panas ke Sham. Mereka juga telah menjalankan urusan perdagangan dengan pelbagai negeri luar seperti India, Parsi, Abyssiana, Mesir dan lain-lain. Penjajahan Rom, Parsi, Habsyah ke atas sebahagian Tanah Arab adalah disebabkan dorongan potensi ekonomi yang wujud si Semenanjung Tanah Arab pada masa itu. Dalam perdagangan juga mereka telah menggunakan mata wang Dinar dan Dirham yang diperbuat daripada emas dan perak. Di bidang pertanian pula, mereka telah maju. Empangan Maarib bukan hanya dapat mencegah banjir tetapi dapat mengairi ladang-ladang hingga menjadi subur dan memberikan kesenangan dan kemewahan (Al-Quran – Surah 34, ayat 15-17)

Dari segi politik, mereka telah pun menunjukkan unsur-unsur tamadun yang tinggi. Sebab mereka telah dapat mewujudkan pemerintahan yang berbentuk kerajaan yang lengkap seperti Kerajaan Main, Saba’, Himyar yang terdapat di sebelah Selatan iaitu di Yaman. Kerajaan Hirah, Tadmor, Nabat dan Ghassan yang terdapat di sebelah Utara. Kerajaan-kerajaan tersebut lengkap dengan sistem pentadbiran dan pemerintahannya masing-masing, mempunyai pegawai-pegawai pentadbir awam dan tentera, mempunyai raja dan menteri; mempunyai sistem ketenteraan dan pertahanan yang tersendiri. Kerajaan Saba’ misalnya adalah sangat terkenal dengan kebesaran dan keteguhannya hingga ada di dalam Al-Quran satu surah yang disebut sebagai Surah Saba’ (surah 34). Salah seorang rajanya yang terkenal juga disebut di dalam Al-Quran iaitu Ratu Balqis. Kerajaan Himyar juga dikatakan merupakan sebuah kerajaan besar yang pernah menjajah kawasan luar dari Semenanjung Tanah Arab seperti Khurasan dan kawasan sekitar Sungai Jaihun. Di kota Makkah sendiri mempuyai satu sistem pentadbiran yang teratur yang dikuasai oleh kaum Quraisy. Ada beberapa majlis yang telah ditubuhkan bagi melindungi jemaah haji dan kepentingan kota Makkah. Di antaranya ialah Majlis Siqayah (urusan air), Majlis Rifadah (urusan makanan), Majlis Nadwah (urusan dalam dan luar Makkah), Majlis khazanah (Perbendaharaan) dan lain-lainnya.

Dilihat dari aspek sosial pula, mereka telah menunjukkan ciri-ciri kemajuan yang tidak kurang nilainya. Dalam susunan masyarakat mereka yang berkabilah terdapat kewajipan-kewajipan individu terhadap masyarakat kabilah. Terdapat juga Sheikh Kabilah yang dianggap sebagai ketua kabilah yang mesti ditaati dan dihormati. Terdapat juga golongan bangsawan, misalnya kaum Quraisy dianggap sebagai golongan bangsawan. Terdapat pelbagai lapisan dalam masyarakat pada ketika itu. Orang kaya, orang yang pandai bersyair, orang yang berani, orang yang pandai bermain senjata dan gagah sangat dihormati dan disanjung. Malahan, dalam masyarakat mereka itu terdapat sistem perhambaan. Golongan hamba inilah yang dianggap paling rendah sekali. Sistem perhambaan ini menunjukkan bahawa masyarakat Arab Jahiliyah itu telah mempunyai tamadun. Demikian juga pelbagai nilai baik dalam sistem sosial mereka juga dapat kita jadikan bukti yang jelas bahawa mereka sememangnya mempunyai tahap ketamadunan yang tinggi.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa orang-orang Arab Jahiliyah bukanlah merupakan satu bangsa yang mundur atau hidup dalam keadaan yang primitif yang tidak mempunyai apa-apa kemajuan. Mereka sebenarnya mempunyai tamadun yang tinggi dari semua aspek seperti yang dinyatakan itu. Mereka digelar “Arab Jahiliyah” adalah disebabkan kesesatan mereka dari sudut agama dan kepercayaan serta kerosakan mereka dari sudut akhlak mereka sahaja.

Comments
  1. RoBin Yan Persie says:

    wooo..sentapz….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s