Perang Jawa (1825-1830)

Posted: April 26, 2012 in Sejarah Asia Tenggara, Sejarah STPM

Pengenalan

Perang Jawa meletus dari 20 Julai 1825 sehingga 28 Mac 1830. Peperangan ini juga dikenali sebagai Perang Depo Negoro kerana ianya dipimpin oleh Depo Negoro atau Pengeran Anta Wira, iaitu putera Sultan Amangkubuwono III dari keturunan Jogjakarta. Perang Jawa bukan sahaja merupakan penentang rakyat Jawa terhadap Belanda, tetapi juga terdapat orang-orang Cina kerana kegiatan-kegiatan mereka telah menimbulkan pelbagai penderitaan kepada rakyat Jawa. C.L.M. Penders dalam bukunya “Indonesia: Selected Documents on Colonialism and Nationalism 1830-1942” menegaskan bahawa ekonomi merupakan faktor utama menyebabkan meletusnya Perang Jawa. Pendapat ini disokong oleh M.C. Ricklefs dalam buku “A History of Modern Indonesia”. Walau bagaimanapun, faktor politik dan sosial juga penting dalam meletusnya Perang Jawa.

 

Sebab-sebab

1.         Politik

Pada tahun 1814, Sultan Amangkubuwono III dari Kesultanan Jogjakarta mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Depo Negoro dan Mas Djorat yang masing-masing beribukan rakyat biasa dam keturunan raja. Atas nasihat pembesar-pembesar, Stamford Raffles yang menjadi Leftenan Gabenor Jawa ketika itu melantik Mas Djorat sebagai Sultan Amangkubuwono IV. Untuk mengelakkan penentangan Depo Negoro, Raffles berjanji akan melantik Depo Negoro sebagai Sultan selepas kematian Mas Djorat. Pada tahun 1822, Mas Djorat mangkat. Belanda yang kembali memerintah Jawa melantik putera Mas Djorat iaitu Raden Menol yang berumur 2 tahun sebagai Sultan Amangkubuwono V. Tindakan Belanda tidak melantik Depo Negoro menyebabkan beliau menentang. Belanda melantik Raden Menol sebagai Sultan dengan tujuan untuk mengurangkan pengaruh Depo Negoro serta untuk memudahkan dasar peluasan kuasa. Walau bagaimanapun, terdapat ahli-ahli Sejarah yang menegaskan Belanda sememangnya tidak mengetahui adanya janji antara Raffles dengan Depo Negoro.

Tindakan Belanda untuk mengurangkan pengaruhnya telah mendapat bantahan Depo Negoro. Sebagai contoh, dalam menjalankan pentadbiran Jogjakarta, Belanda tidak pernah berunding dengan Depo Negoro walaupun beliau telah dilantik sebagai Pemangku Sultan. Hubungan baik yang wujud antara Perdana Menteri, Pateh Denuredjo yang merupakan musuh Negoro telah menambahkan kemarahan beliau.

Depo Negoro juga tidak setuju dengan campur tangan Belanda dalam hal-ehwal Jogjakarta. Belanda telah melantik Smissert sebagai residennya di Jogjakarta. Campur tangan Belanda telah menyebabkan beberapa wilayah Jogjakarta seperti Kedu, Madiun dan Magelang telah dikuasai oleh Belanda.

2.         Ekonomi

a.         Pembatalan sistem sewa tanah

Pada tahun 1823, Van der Capellan telah mengeluarkan undang-undang tanah baru. Mulai 1 Januari 1824, sistem sewa tanah yang diamalkan selama ini dibatalkan. Pembatalan sistem sewa tanah telah menimbulkan bantahan golongan bangsawan dan petani-petani Jawa terutamanya di Jogjakarta dan Surakarta. Telah menjadi amalan tuan tanah sejak awal abad ke-19 untuk menyewakan tanah mereka kepada pengusaha-pengusaha Eropah dan Cina lebih-lebih lagi pengusaha-pengusaha ini tidak dibenarkan membeli tanah. Van der Capellan menganggap tindakan ini bukan sahaja merugikan tuan tanah tetapi juga kerajaan. Mengikut undang-undang tanah yang baru, tuan tanah diminta mengembalikan wang yang telah diambil dari pengusaha. Walaupun undang-undang ini dapat mengelakkan tuan tanah kehilangan tanah tetapi ianya dianggap sebagai satu bebanan oleh tuan tanah. Pembatalan sistem sewa tanah telah menutup satu sumber pendapatan tuan tanah. Selain itu, wang yang diambil dari pengusaha telah pun dibelanjakan. Antara tuan tanah yang terlibat ialah Depo Negoro. M.C. Ricklefs dalam bukunya “A History of Modern Indonesia” menegaskan pembatalan sistem sewa tanah merupakan langkah terakhir yang membangkitkan penentangan rakyat Jawa terhadap Belanda. Pembatalan sistem sewa tanah juga membebankan petani-petani kerana mereka telah dipaksa oleh tuan tanah untuk bekerja lebih kuat lagi bagi menambahkan pengeluaran supaya tuan tanah dapat mengembalikan wang kepada pengusaha. Petani-petani tidak menentang tuan tanah kerana mereka mengetahui keadaan ini berlaku akibat tindakan Belanda.

b.         Cukai

Perang Napoleon telah menjejaskan ekonomi Belanda. Pada tahun 1815, hutang Belanda telah meningkat 600 juta guilders. Gabenor Jeneral yang dilantik di Jawa selepas Perang Napoleon iaitu Elout (1816), Buysken (1817) dan Van der Capellan (1819) telah diarahkan untuk melaksanakan rancangan bagaimana Jawa dapat digunakan untuk membantu ekonomi Belanda. Antara langkah yang dijalankan oleh Belanda ialah rakyat Jawa dikehendaki menjual hasil mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebagai sumbangan rakyat Jawa untuk ekonomi Belanda. Selain itu, rakyat Jawa juga dikenakan pelbagai cukai yang tinggi. Salah satu cukai yang dianggap membebankan ialah cukai sempadan. Di bawah sistem cukai sempadan, rakyat Jawa yang melalui tanah kerajaan dikehendaki membayar cukai. Hak memungut cukai telah diserahkan kepada orang Cina yang mengambil kesempatan mengenakan cukai tambahan seperti cukai pintu gerbang, cukai jambatan dan sebagainya yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh Belanda.

c.         Kemelesetan

Kemelesetan ekonomi telah berlaku pada 1820-an. Pada tahun 1822, berlaku kejatuhan harga kopi. Kejatuhan ini membebankan ekonomi rakyat Jawa kerana majoriti rakyat Jawa bergantung kepada hasil kopi. Kehidupan mereka bertambah sulit apabila mereka terpaksa membayar pelbagai cukai yang dikenakan oleh Belanda.

d.         Orang Cina

Orang Cina bukan sahaja bertindak sebagai pemungut cukai tetapi juga sebagai orang tengah dan peminjam wang. Sebagai orang tengah, mereka membeli hasil rakyat Jawa dengan harga yang lebih rendah. Sebagai peminjam wang pula, mereka mengenakan bunga yang tinggi ke atas pinjaman orang Jawa. Kegiatan orang Cina telah menambahkan lagi penderitaan rakyat Jawa.

3.         Sosial

a.         Jalan raya

Pada tahun 1825, Belanda merancang untuk membina jalan raya dari Megelang ke Jogjakarta melalui tanah perkuburan nenek moyang Depo Negoro di Tegalredjo. Tindakan Belanda dianggap menjejaskan kesucian Islam serta menjatuhkan maruah Depo Negoro lebih-lebih lagi Belanda tidak berunding dengannya terlebih dahulu. Kemarahan Depo Negoro bertambah apabila Belanda menyerahkan tanggungjawab membina jalan raya ini kepada Perdana Menteri Pateh Denvredjo yang merupakan musuh Depo Negoro.

b.         Islam

Depo Negoro merupakan seorang yang alim dan banyak menghabiskan masa bermeditasi di Gua Langse di Pergunungan Silarong. Rakyat Jawa menganggap beliau sebagai pemimpin Islam Jawa dengan gelaran Sheikh Ngadburrahim dan Sheikh Ngabdul Hamid. Tindakan Belanda tidak menyifatkannya sebagai pemimpin Islam Jawa telah mendapat bantahan Depo Negoro. Dewasa itu telah wujud kepercayaan terhadap “Ratu Adil” iaitu kemunculan Raja Adil yang akan menghalau Belanda dan menghapuskan penderitaan rakyat Jawa. Kepercayaan ini diperkukuhkan dengan konsep “Imam Mahadi” dalam Islam. Orang Jawa menyokong Depo Negoro kerana mereka menganggap beliau sebagai Raja Adil. Selain itu, rakyat Jawa telah diyakinkan bahawa peperangan dengan Belanda dan Cina merupakan jihad dan kematiannya dianggap sebagai Syahid. Ketokohan Depo Negoro bukan sahaja dapat sokongan rakyat biada tetapi juga pembesar seperti Pangeran Natadningrat, Pangeran Djayakusomo, Pangeran Mangkubumi, Kijau Madjo dan Sentut Primiradrjo.

c.         Keruntuhan moral dalam kraton

Depo Negoro juga menentang keruntuhan moral dalam kraton akibat pengaruh Belanda. Sebagai contoh, dalam majlis yang diadakan di rumah Perdana Menteri Pateh Denurudjo, minuman keras telah dihidangkan. Depo Negoro menganggap pengaruh Barat hanya dapat dihapuskan sekiranya Belanda diusir dari Jawa.

 

Proses peperangan

Perang Jawa bermula 20 Julai 1825 apabila pengikut-pengikut Depo Negoro cuba menggagalkan rancangan Belanda untuk membina jalan raya dari Magelang ke Jogjakarta. Alat-alat pembinaan dimusnahkan dan pekerja diserang menyebabkan seorang pegawai Belanda terbunuh. Belanda bertindak balas dengan menghantar tenteranya menangkap Depo Negoro dan pengikutnya. Kegagalan untuk menangkap mereka telah menyebabkan Belanda membakar rumah Depo Negoro. Depo Negoro dan pengikutnya melarikan diri ke kawasan pergunungan Kalisoko dan kemudiannya muncul di Jogjakarta menyerang orang Cina dan Belanda. Pada tahun 1828, Depo Negoro mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan. Tentera Belanda yang dihantar oleh Belanda untuk menentang Depo Negoro dipimpin oleh Van Green, Cochivs dan De Knock. Pada April 1828, Pangeran Natadningrat berpaling tadah dan menyebelahi Belanda. Menjelang April 1829, lebih banyak pengikut Depo Negoro berpaling tadah. Antara mereka ialah Pangeran Djayakusumo, Pangeran Mangkubumi, Rajai Madjo dan Sentut Primiradrjo. Apabila menyedari perjuangannya akan menemui kegagalan, Depo Negoro bersetuju untuk mengadakan rundingan sejak tahun 1830. Kegagalan rundingan tersebut menyebabkan Depo Negoro ditangkao pada 28 Mac 1830 dan dibuang ke Medano. Pada tahun 1834, beliau dipindahkan ke Makasar di mana beliau meninggal dunia pada 8 Januari 1855.

 

Kesan-kesan

1.         Membebankan kewangan Belanda

Perang Jawa telah membebankan lagi ekonomi Belanda yang hampir muflis selepas Perang Napoleon. Perang Jawa telah menelan perbelanjaan antara 20 juta – 25 juta guilders yang sebahagian besarnya didapati dari pinjaman. Selepas Perang Jawa, Belanda mula mengambil lankah untuk mengurangkan kos pentadbiran dengan mengurangkan residensinya di Jawa.

2.         Wilayah

Bagi mengelakkan berulangnya peristiwa seperti Perang Jawa, Belanda mula mengambil tindakan untuk menguasai beberapa wilayah Jogjakarta dan Surakarta. Pemerintahnya telah dibayar sagu hati. Antara wilayah yang dikuasai ialah Bangjumas, Bagelen, Manduin dan Kediri.

3.         Sistem Kultur

Bebanan kewangan yang bertambah akibat Perang Jawa menyebabkan Belanda mengambil pendekatan baru untuk mengatasi masalah ekonominya. Raja Belanda telah mengarahkan Van den Bosch untuk merangka satu rangcangan bagaimana Jawa digunakan untuk membantu ekonomi Belanda. Akibatnya, Sistem Kultur telah mula dilaksanakan oleh Ven den Bosch di Jawa pada 8 Januari 1830. Di bawah sistem ini, petani-petani dikehendaki memperuntukkan 1/5 daripada tanah mereka untuk ditanam dengan tanaman dieksport yang ditetapkan oleh kerajaan seperti tebu, kopi, tembakau, kapas, cengkih, nila, kina dan sebagainya.

4.         Sistem sewa tanah

Selepas Perang Jawa, Belanda mengkaji semula dasar pentadbirannya terutamanya dasar ekonomi di Jawa. Belanda menyedari punca utama Perang Jawa ialah pembatalan sistem sewa tanah yang dilaksanakan oleh Van der Capellan sejak 1 Januari 1824. Akibatnya, selepas Perang Jawa, pembatalan sistem sewa tanah tersebut ditarik balik. Pembatalan undang-undang itu membolehkan tuan tanah menyewakan tanah mereka kepada pengusaha-pengusaha.

5.         Penderitaan

Perang Jawa telah menimbulkan pelbagai penderitaan bukan sahaja di pihak rakyat Jawa tetapi juga di pihak Belanda. Belanda kehilangan 15 ribu askar yang terdiri daripada 8 ribu Belanda dan 7 ribu Jawa. Di pihak rakyat Jawa, dianggarkan 200 ribu orang terkorban. Perang Jawa telah membawa kepada penderitaan lain seperti penyakit, kekurangan makanan dan sebagainya.

6.         Kegagalan pentadbiran Belanda

Perang Jawa membuktikan kegagalan pentadbiran Belanda di Jawa terutamanya rancangan ekonomi Van der Capellan. Selepas Perang Jawa, Belanda mula mengkaji penubuhan pentadbiran serta dasar ekonomi.

7.         Nasionalisme

Perang Jawa telah memberi kesan terhadap kebangkitan nasionalisme Indonesia. Van de Krof dalam bukunya “Prince Depo Negoro: Progenitor of Indonesia Nationalism” menegaskan walaupun Perang Jawa bukan merupakan kebangkitan nasionalisme, tetapi ianya telah dijadikan ilham oleh nasionalis-nasionalis pada abad ke-20 untuk membangkitkan penentangan terhadap Belanda.

8.         Kebangkitan lain

Perang Jawa mempengaruhi kebangkitan lain oleh rakyat Hindia Timur untuk menentang Belanda. Antaranya ialah Kebangkitan Ambun dan Kebangkitan Sumatera.

 

Kesimpulan

Perang Jawa telah meninggalkan pelbagai kesan terutamanya terhadap nasionalisme Indonesia. Peperangan ini merupakan gerakan anti-Belanda yang terbesar pada abad ke-19. Ahli-ahli Sejarah menganggap Perang Jawa sebagai “fore runner” kepada gerakan anti-Belanda yang lebih sistematik pada abad ke-20. Hal ini ditegaskan oleh Van de Krof dalam bukunya “Prince Depo Negoro: Progenitor of Indonesia Nationalism”.

Comments
  1. Andie says:

    – thx , 4 de post .. it help me so much !🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s