PERLEMBAGAAN MALAYSIA : KEWARGANEGARAAN BAB 2

Posted: May 29, 2012 in Pengajian Am Baharu - Kenegaraan

Bab 2 – Penamatan Kewarganegaraan

Perkara 23. Pelepasan kewarganegaraan.

(1) Mana-mana warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih dan yang sempurna akal yang juga ialah seorang warganegara negara lain atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain boleh melepaskan kewarganegaraannya bagi Persekutuan melalui akuan yang didaftarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan hendaklah sesudah itu terhenti menjadi warganegara.

(2) Akuan yang dibuat di bawah Perkara ini dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan terlibat tidaklah boleh didaftarkan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

(3) Perkara ini terpakai bagi seseorang perempuan yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah berkahwin sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih.

Perkara 24. Pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dsb.

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(3) (Dimansuhkan).

(3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana

pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan[1] oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini—

(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport

dikeluarkan atau dibaharui; atau

(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan, hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

(4) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan perempuan itu.

Perkara 25. Pelucutan kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau melalui penaturalisasian.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati—

(a) bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan;

(b) bahawa orang itu, dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan sedang atau

telah terlibat, telah dengan menyalahi undang-undang berdagang dengan atau menghubungi musuh atau melibatkan diri atau menjadi sekutu dalam apa-apa perniagaan yang pada pengetahuannya telah dijalankan mengikut apa-apa cara sehingga dapat membantu musuh dalam peperangan itu; atau

(c) bahawa orang itu, dalam tempoh lima tahun mulai dari tarikh pendaftaran atau dari tarikh

perakuan diberikan, telah dihukum dengan pemenjaraan di mana-mana negara selama tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan atau denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit atau yang senilai dengannya dalam mata wang negara itu, dan telah tidak mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan yang kerananya dia telah dihukum sedemikian.

(1A) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu, tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, telah menerima, berkhidmat dalam, atau melaksanakan tugas apa-apa jawatan, perjawatan atau pekerjaan di bawah Kerajaan mana-mana negara di luar Persekutuan atau mana-mana subbahagian politiknya, atau di bawah mana-mana agensi Kerajaan itu, dalam apa-apa hal jika suatu sumpah, ikrar atau akuan setia dikehendaki berkenaan dengan jawatan, perjawatan atau pekerjaan itu:

Dengan syarat bahawa seseorang tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal ini oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum permulaan bulan Oktober 1962, berhubung dengan suatu negara asing, dan sebelum permulaan bulan Januari 1977, berhubung dengan suatu negara Komanwel, walaupun pada masa itu dia telah menjadi seorang warganegara.

(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di negara-negara di luar Persekutuan bagi tempoh terus-menerus selama lima tahun dan dalam tempoh itu orang itu—

(a) tidak pernah pada bila-bila masa berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau dalam

perkhidmatan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan; dan

juga

(b) tidak mendaftarkan tiap-tiap tahun di konsulat Persekutuan niatnya hendak mengekalkan

kewarganegaraannya: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi apa-apa tempoh

kemastautinan di mana-mana negara Komanwel sebelum permulaan bulan Januari 1977.

(3) (Dimansuhkan).

Perkara 26. Peruntukan lain bagi melucutkan kewarganegaraan melalui pendaftaran atau

penaturalisasian.

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan naturalisasi itu—

(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau

(b) telah dibuat atau diberikan dengan silap.

(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang disebabkan olehnya perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh dua tahun mulai dari tarikh perkahwinan itu.

(3) (Dimansuhkan).

(4) (Dimansuhkan).

Perkara 26A. Pelucutan kewarganegaraan anak orang yang hilang kewarganegaraannya.

Jika seseorang telah melepaskan kewarganegaraannya atau telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (1) Perkara 24 atau perenggan (a) Fasal (1) Perkara 26, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana anak orang itu yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah didaftarkan sebagai warganegara menurut Perlembagaan ini dan telah didaftarkan sedemikian sebagai anak orang itu atau anak isteri atau anak suami orang itu.

Perkara 26B. Peruntukan am tentang kehilangan kewarganegaraan.

(1) Pelepasan atau pelucutan kewarganegaraan tidaklah melepaskan seseorang daripada liabiliti berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum dia terhenti menjadi warganegara.

(2) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, 26 atau 26A melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah bagi kebaikan awam untuk dia terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, perenggan (b) Fasal (1) Perkara 26, atau Perkara 26A jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa akibat daripada

pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.

Perkara 27. Tatacara bagi pelucutan.

(1) Sebelum membuat sesuatu perintah di bawah Perkara 24, 25 atau 26, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan notis secara bertulis kepada orang yang terhadapnya perintah itu dicadangkan hendak dibuat memberitahu orang itu tentang alasan perintah itu dicadangkan hendak dibuat dan tentang haknya untuk merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan di bawah Perkara ini.

(2) Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu diberikan memohon supaya kes itu dirujukkan seperti yang disebut terdahulu, maka Kerajaan Persekutuan hendaklah, dan dalam apa-apa kes lain Kerajaan Persekutuan boleh, merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada seorang pengerusi (iaitu seorang yang mempunyai pengalaman kehakiman) dan dua orang anggota lain yang dilantik oleh Kerajaan itu bagi maksud itu.

(3) Dalam hal mana-mana rujukan sedemikian, jawatankuasa itu hendaklah mengadakan suatu siasatan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan mengemukakan laporannya kepada Kerajaan itu; dan Kerajaan Persekutuan hendaklah mengambil kira laporan itu dalam memutuskan sama ada hendak membuat perintah itu atau tidak.

Perkara 28. Pemakaian Bab 2 bagi warganegara tertentu melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Bagi maksud peruntukan yang terdahulu dalam Bab ini—

(a) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau

warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara atau berikutan dengan

pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, atau melalui pemberian perakuan kewarganegaraan, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran dan, jika dia tidak dilahirkan di dalam Persekutuan, sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 17;

(b) seseorang perempuan yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau

warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara, atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian tersebut atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri yang membenarkan pendaftaran perempuan yang berkahwin dengan warganegara bagi Persekutuan atau dengan rakyat Raja hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15;

(c) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka telah dinaturalisasikan sebagai warganegara

persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan di bawah Perjanjian tersebut atau yang menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan berikutan dengan

penaturalisasiannya sebagai rakyat seseorang Raja di bawah mana-mana undang-undang Negeri

hendaklah (tertakluk kepada Fasal (2)) dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian,

dan sebutan dalam peruntukan itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(2) Tiada seorang pun yang dilahirkan di dalam Persekutuan boleh menurut kuasa Perkara ini dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25.

(3) Seseorang yang pada Hari Merdeka menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang olehsebab telah menjadi warganegara bagi Persekutuan sebaik sebelum hari itu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Fasal (1) atau (2) Perkara 24 oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan pada atau sebelum hari itu; tetapi dalam hal mana-mana orang sedemikian Fasal (2) Perkara 25 hendaklah terpakai juga berhubung dengan tempoh kemastautinan di negara-negara asing yang bermula sebelum Hari Merdeka

dan berhubung dengan sesuatu tempoh sedemikian yang bermula pada atau selepas hari itu.

Perkara 28A. Pelucutan kewarganegaraan orang yang menjadi warganegara pada Hari Malaysia.

(1) (Dimansuhkan).

(2) Bagi maksud Perkara 24, 25, 26 dan 26A seseorang yang pada Hari Malaysia menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang kerana sebaik sebelum hari itu dia mempunyai taraf warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan hendaklah dikira—

(a) sebagai warganegara melalui pendaftaran jika dia memperoleh taraf itu melalui pendaftaran; dan

(b) sebagai warganegara melalui penaturalisasian jika dia memperoleh taraf itu melalui atau

berikutan dengan penaturalisasian, dan sebutan dalam Perkara itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

(3) Jika di bawah Perkara ini seseorang perempuan hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran, dan taraf yang berikutan dengannya dia hendaklah dikira sedemikian telah diperolehnya oleh sebab perkahwinan, maka bagi maksud Fasal (4) Perkara 24 dan Fasal (2) Perkara 26 dia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15.

(4) Jika di bawah Perkara ini seseorang yang dilahirkan sebelum Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran oleh sebab hubungan dengan Negeri Sabah atau Sarawak dan dia tidak dilahirkan di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, maka Perkara 25 hendaklah terpakai baginya seolah-olah dia ialah seorang warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17.

(5) Walaupun di bawah Perkara ini seseorang hendaklah dikira sebagai warganegara melalui

penaturalisasian, dia tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perkara 25 jika dia dilahirkan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, dan dia hendaklah dikira sedemikian oleh sebab taraf yang diperoleh melalui atau berikutan dengan penaturalisasian di wilayah-wilayah itu.

(6) Tanpa menjejaskan Fasal-Fasal yang terdahulu, jika pada Hari Malaysia seseorang menjadi

warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab apa-apa taraf yang dimilikinya sebaik sebelum hari itu, tetapi taraf itu boleh dilucutkan daripadanya di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pelucutan itu berkenaan dengan perkara-perkara yang dilakukan sebelum hari itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraannya, jika prosiding bagi maksud itu dimulakan sebelum bulan September 1965; tetapi Fasal (2) Perkara 26B dan, tertakluk kepada Fasal (7), Perkara 27 hendaklah terpakai bagi perintah di bawah Fasal ini sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi perintah di bawah Perkara 25.

(7) Jika seseorang boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (6) dan prosiding telah dimulakan sebelum Hari Malaysia untuk melucutkan taraf yang disebabkan olehnya dia memperoleh kewarganegaraannya, maka prosiding itu hendaklah dikira sebagai prosiding untuk melucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal itu, dan hendaklah diteruskan sebagai yang demikian; tetapi prosiding itu hendaklah diteruskan mengikut undang-undang yang berhubungan dengan taraf itu sebaik sebelum Hari Malaysia, dan fungsi Kerajaan Persekutuan berhubung dengannya hendaklah diwakilkan kepada mana-mana pihak berkuasa Negeri yang berkenaan sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s